Nana nafi digemari lelaki lebih muda

Kuala Lumpur: Penyanyi dan pelakon Siti Nordiana Alias atau Nana, 36, menafikan dia mudah menjadi tarikan kebanyakan selebriti lelaki lebih muda kerana sikap wanita kampung dan ‘mak mak’ dimilikinya.

Ia berikutan Nana pernah dikaitkan dengan beberapa selebriti lelaki muda yang dikata ‘rapat’ dan mesra dengannya seperti Khai Bahar, Fikry Ibrahim dan Syafiq Farhain.

Keakraban mereka jelas kelihatan apabila pernah bekerjasama dalam lagu dan drama serta ada kala dilihat saling berbalas komen di media sosial masing-masing.

Nana ketika dihubungi berkata, hubungan baik mereka yang nampak rapat dan mesra itu sekadar rakan satu bidang kerjaya berikutan mudah berkongsi pandangan terhadap industri seni.

“Dari faktor usia, memang saya berusia daripada mereka. Status pula, saya pun seorang ibu, jadi wajarlah ada sifat ‘mak mak’ itu. Malah, saya juga memang berasal dari kampung, termasuk pernah mendapat gelaran ‘penyanyi kampung’.  Tapi, taklah sampai saya mampu jadi tarikan lelaki muda.

“Pada saya, kami semua bersahabat. Tak salah pun jalinkan hubungan baik dan mesra dengan ramai orang. Saya sendiri sudah ada pengalaman ketika nama berada di puncak, kemudian jatuh dan sekarang mendapat sokongan peminat semula.

“Jadi, dengan pengalaman ini saya sedia berkongsi dengan sesiapa saja selebriti tidak kira lelaki atau wanita jika mereka mahukan pandangan. Bagi saya, wajar bersahabat untuk berkongsi kebaikan,” katanya.

Menurut Nana, dia tidak melihat sikap saling menyokong dan positif itu sebagai batu loncatan untuk menumpang populariti di antara satu sama lain.

Katanya, populariti ialah satu rezeki dan bonus kepada selebriti.

“Apabila saya baik, rapat dan mesra dengan selebriti lain, tak pernah terlintas di fikiran pun nak menumpang populariti mereka. Pada saya, peminat atau orang ramai berhak menyokong dan memilih selebriti yang diminati. Malah, sikap baik saya pada selebriti lelaki muda ini bukan berbaur peribadi atau nak mencari jodoh. Untuk saya, cukup sekadar saling menyokong sebagai rakan sesama selebriti. Lagipun jodoh itu rahsia Allah,” katanya.

Nana yang sudah lali dengan gosip berkata, sekarang dia sibuk mempromosikan lagunya berjudul Angkara dan dia bersyukur masih lagi mendapat sokongan padu peminat.

“Saya bersyukur dengan rezeki Allah ini. Terima kasih kepada semua peminat yang masih menyokong segala aktiviti seni saya hingga kini. Saya akan terus berusaha memantapkan kerjaya seni. Namun, memandangkan sekarang negara dan kita semua masih berhadapan penularan Covid-19, saya mohon jaga keselamatan diri, keluarga dan masyarakat,” katanya.

Muzik video Angkara yang dilancarkan tiga bulan lalu sudah mencatat lebih tiga juta tontonan di YouTube dengan lebih 52,000 komen.

 

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Sumber : harianmetro

 

Be the first to comment on "Nana nafi digemari lelaki lebih muda"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*