Tular Gambar Anggota Merokok Di Kedai, Polis Serahkan Kepada KKM

IPOH : Pihak polis menyerahkan siasatan berhubung beberapa anggotanya yang merokok di sebuah premis makanan dipercayai di Pasir Puteh, di sini, yang tular di media sosial baru-baru ini kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, pihaknya mengesahkan individu yang terpapar dalam gambar berkenaan adalah anggotanya dari Unit Rondaan Bermotosikal (URB), Bahagian Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh.

Katanya, satu laporan polis dibuat di Balai Polis Pasir Puteh bagi merujuk perkara itu kepada KKM untuk siasatan dan tindakan susulan.

“Pada masa sama, tindakan siasatan tatatertib juga dibuat terhadap semua anggota terbabit bagi mengenal pasti sama ada (memang benar) terdapat sebarang pelanggaran tatatertib atau kod etika Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Saya ingin menegaskan kami sentiasa menjalankan amanah dengan adil, telus dan profesional yang mana semua anggota polis turut tertakluk kepada pematuhan undang-undang yang dikuatkuasakan di negara ini,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

A Asmadi berkata, bagaimanapun kesemua anggota yang terpapar dalam gambar tular itu tidak berada dalam penugasan atau ‘off-duty’ iaitu selepas penugasan mereka selesai.

Terdahulu, gambar memperlihatkan empat anggota polis dalam keadaan memakai uniform tular di media sosial apabila sebahagian dari mereka didapati merokok sewaktu kesemua mereka duduk semeja di sebuah premis makanan.

Gambar terbabit¬† dimuat naik pengguna media sosial dikenali sebagai ‘Araa Qisha‘, seterusnya mendapat perhatian masyarakat umum apabila turut dikongsikan laman Facebook Public Health Malaysia.

Untuk rekod, pada awal 2019, kerajaan menetapkan individu yang ingin merokok di kedai makan dan restoran terbuka perlu berada lebih daripada tiga meter daripada bangunan premis terbabit.

Dengan penguatkuasaan peraturan itu, perokok yang ditahan di kawasan itu yang turut dikategorikan sebagai kawasan larangan merokok akan didenda RM10,000 atau boleh dipenjara tidak melebihi dua tahun.

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook My Metro

Sumber : HMetro

Be the first to comment on "Tular Gambar Anggota Merokok Di Kedai, Polis Serahkan Kepada KKM"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*