KPN Bongkarkan Cara Sajat Loloskan Diri Ke Luar Negara

“Namun kita tidak tolak kemungkinan, dia memilih untuk bersembunyi di selatan Thailand,”

USAHAWAN kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman, 36, atau Sajat dipercayai menggunakan laluan tikus di sebelah utara tanah air untuk meloloskan diri sebelum bersembunyi di Thailand.

Perkara itu disahkan sendiri oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador ketika dihubungi Utusan Malaysia, semalam.

Bagaimanapun kata Abdul Hamid, usaha menjejaki usahawan itu bagaimanapun mengalami kesukaran memandangkan lokasi sebenar dia bersembunyi di negara terbabit tidak dapat dipastikan.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Huzir Mohamed berkata, pihak polis telah membantu mengesan keberadaan Muhammad Sajjad namun siasatan dijalankan oleh pihak Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Turut ditanya sama ada pihak polis akan meminta Sajat kembali ke negara ini, Huzir memberitahu ia bergantung kepada JAIS.

“Kita hanya bantu kesan Sajat namun siasatan oleh JAIS,” katanya.

 

Sementara itu di Perlis, polis negeri tidak mendapat maklumat usahawan kosmetik itu meloloskan diri ke Thailand menggunakan laluan tikus di kawasan sempadan Perlis.

Ketua Polis negeri, Datuk Surina Saad berkata, pihaknya termasuk anggota dari Pasukan Gerakan Am (PGA) dengan bantuan pihak keselamatan lain mengawal ketat di kira-kira 60 lorong di tikus di sempadan negeri.

Katanya, Sajat berkemungkinan menggunakan laluan tikus di kawasan lain bukan di Perlis, dan sekiranya Sajat melalui kawasan di negeri itu pastinya usahawan tersebut sudah ditangkap kerana pihaknya melakukan kawalan cukup ketat di kawasan sempadan.

“Kita tidak dapat makluman Sajat melalui kawasan lorong tikus di negeri ini. Lorong tikus tidak semestinya di Perlis sahaja.

“Kita tidak akan biarkan Sajat terlepas kalau cuba melalui kawasan lorong tikus di negeri ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.

 

Tambah Surina, sebelum ini, PGA juga telah mengedarkan gambar Sajat di sepanjang pos kawalan keselamatan bagi memastikan dia tidak dapat bolos ke negara jiran.

 

Di Kedah, PGA memaklumkan pihaknya percaya Sajat tidak menggunakan lorong tikus di Kedah dan Perlis untuk bersembunyi di Thailand.

Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd. Noh Khamis berkata, Sajat dipercayai sukar melepasi empat lorong tikus yang dikenal pasti di kawasan sempadan Malaysia dan Thailand di Kedah yang berbukit dan hutan.

Menurutnya, lorong tikus tersebut hanya digunakan dalam kalangan penyeludup tegar dan kawasan itu dikawal ketat pada setiap masa.

Malah katanya, sebanyak 60 lorong tikus di sempadan tersebut serta di Perlis juga dikawal ketat dan sukar untuk dicerobohi.

“Saya percaya Sajat menghadapi kesukaran untuk melepasi ke Thailand dengan menggunakan lorong tikus yang cukup mencabar.

“Kesemua lorong tikus itu telah menjadi kawasan hotspot yang dikawal ketat setiap masa bagi mengekang aktiviti penyeludupan barangan larangan dan pendatang asing tanpa izin (PATI),” katanya.

 

Difahamkan sebanyak tiga lorong tikus juga terdapat di Perak dan 133 pangkalan haram di Kelantan.

Mohd. Noh memberitahu, pada masa ini, laluan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam dekat sini juga ditutup sejak penularan Covid-19 tahun lalu.

Jelasnya, ICQS tersebut hanya dibuka untuk kenderaan pengangkutan perdagangan.

“Orang ramai dan pelancong pula tidak dibenar menggunakan ICQS untuk urusan lain di negara jiran itu,” katanya. – UTUSAN

 

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih! 

Jom Like Page Kami Juga Di Facebook 

Sumber : https://mediabawang.net/dia-lalu-jalan-len/

Be the first to comment on "KPN Bongkarkan Cara Sajat Loloskan Diri Ke Luar Negara"

Leave a comment

Your email address will not be published.


*